


Syukur kepada Allah S.W.T, Tuan Guru Mohd Azmir dan Tuan Guru Shamsudin telah ditauliahkan sebagai Guru Utama oleh Tuan Guru Musa Bin Mohd Ali (Mahaguru Seni Silat Gayung Ghaib) dan Tuan Guru Wahab. Selama 10 tahun menuntut ilmu Seni Silat Gayung Ghaib dibawah tunjuk ajar Tuan Guru A. Hamid di Ibu Gelanggang Kg. Jelutong Ayer Tawar Perak, Tuan Guru Mohd Azmir telah banyak mendapat tunjuk ajar yang berguna. Bermulanya pada tahun 2000 adalah saat bermulanya beliau menuntut ilmu silat ini. Pelbagai ujian dan dugaan ditempuhi sebagai seorang pesilat bagi mengembangkan warisan Melayu ini. Setelah menuntut ilmu silat pelbagai pencapaian yang telah dicapai oleh beliau. Bermula dilantik sebagai Jurulatih, beliau melangkah dengan tugas yang diberi untuk menyampaikan ilmu silat ini. Selepas sekian lama itu, beliau telah dilantik pula sebagai Gurulatih Utama oleh Tuan Guru A.Hamid di Ibu Gelanggang PSSGGNP. Pada saat itu juga beliau juga pernah diberikan amanah sebagai Setiausaha Agong PSSGGNP. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti penamat silat, pertandingan silat dan kursus kejurulatihan. Perjuangan beliau telah diteruskan lagi dengan perlantikan sebagai Timbalan Guru Utama 2 PSSGGNP. Sepanjang beliau memegang jawatan tersebut pelbagai pencapaian telah dicapai seperti mendapat gelaran Panglima Putih setelah menamatkan peringkat ke 18. Selepas itu pencapaian dianugerahkan lagi kepada beliau dengan pentauliahan sebagai Ayahanda Panglima Putih. Masa terus berlalu beliau meneruskan lagi perjuangan dengan membuka gelanggang silat di Tanjong Malim Perak. Beliau berhijrah ke Tanjong Malim kerana atas tugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim. Dengan rahmat Allah S.W.T anak murid beliau semakin bertambah. Sepanjang perjalanan hidup beliau sebagai guru silat, pelbagai ujian telah dilalui oleh beliau dalam mengembangkan ilmu silat ini. Semangat beliau tidak pernah padam, perjuangan beliau dalam seni silat diteruskan. Pada tahun 2011 adalah saat yang duka dan manis bagi beliau, di mana satu pencapaian telah dicapai iaitu menubuhkan Kelab Anak Gayung Ghaib Malaysia. Beliau dan sahabatnya iaitu Tuan Guru Shamsudin telah mengarak satu langkah lagi ke depan dengan mengadakan banyak lagi aktiviti silat di bawah kelab tersebut. Setelah pelbagai pencapaian yang telah diterima, pada 8 Oktober 2011 beliau telah diijazahkan sebagai Guru Utama bersama Tuan Guru Shamsudin oleh Mahaguru Seni Silat Gayung Ghaib iaitu Tuan Guru Musa Bin Mohd Ali. Kemudian majlis pengijazahan sebagai Guru Utama diteruskan lagi di hadapan Tuan Guru Wahab sebagai pemegang amanah Seni Silat Gayung Ghaib pada 9 Oktober 2011. Pesanan daripada Tok Guru jangan takbur dan jalankan amanah dengan jujur serta jaga hubungan dengan Allah S.W.T.